SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengkaji maklumat daripada afidavit yang dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Baker sebelum meneruskan siasatan.

SPRM berkata, sekiranya afidavit itu mempunyai asas berkaitan rasuah dan salah guna kuasa, pihaknya akan meneruskan siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

“SPRM telah bersemuka dengan Hakim Mahkamah Rayuan itu di kamar beliau di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung afidavit yang dikeluarkan oleh beliau baru-baru ini.

“Dalam pertemuan tersebut, tiada sebarang rakaman percakapan diambil oleh SPRM.

“Hamid mencadangkan agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan ke arah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” kata SPRM dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam afidavit sokongannya sebanyak 63 halaman, Hamid antara lain mendakwa ada hakim bersubahat dengan pihak swasta untuk menipu kerajaan, serta campur tangan dalam beberapa kes.

Antaranya kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan dan perbicaraan Liwat II Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SPRM juga menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai afidavit berkenaan agar menyalurkannya terus kepada pejabat SPRM terdekat.

“Setiap pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010,” katanya kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette