Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer boleh membuat laporan polis sekiranya beliau berasakan kehidupannya telah diancam oleh mana-mana pihak berhubung dakwaan yang beliau kemukakan terhadap hakim-hakim yang tidak dinamakan dan institusi yang berkenaan dalam satu afidavit baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

“Sebagai seorang hakim, saya berpendapat beliau mempunyai keselamatan dengannya. Jika beliau berasakan kehidupannya telah diancam, jadi beliau mempunyai hak untuk membuat laporan polis dan polis boleh menyiasat.

“Jika ada kebenaran terhadap apa yang beliau perkatakan, mereka boleh menyediakan keselamatan, perlindungan kepada beliau,” katanya kepada wartawan di luar persidangan Rantau Asia “Kepimpinan Politik Wanita : Mewujudkan Perubahan Positif” di bangunan Parlimen hari ini.

Pada Rabu lepas (14 Feb) dilaporkan bahawa Hamid Sultan mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung beberapa insiden campur tangan undang-undang dalam kehakiman Malaysia, termasuk dakwaan campur tangan undang-undang dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang bekas anggota Parlimen Bukit Gelugor, yang juga pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Pada 15 Feb, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji sebarang cadangan untuk menubuhkan satu RCI berhubung dakwaan salah laku kehakiman.

Pada hari yang sama, pihak kehakiman membuat laporan polis berhubung dakwaan terhadap hakim-hakim yang tidak dinamakan dan institusi berkenaan dalam afidavit yang dibuat oleh Hamid Sultan.

Dalam kenyataan media yang disiarkan oleh pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, ia menyebut pihak kehakiman mengambil berat berhubung dakwaan dalam afidavit berkenaan yang disahkan semalam dalam saman asal.

— BERNAMA