KUALA LUMPUR – Suspek kes samun seorang wanita di stesen Mass Rapid Transit di Cheras direman semala tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek yang ditangkap semalam di kediamannya telah dihadapkan ke mahkamah pagi tadi.

“Suspek berusia 26 tahun itu telah dicekup di kediamannya di Taman Cheras Jalan Cheras oleh pasukan D9 8.10 malam semalam.

“Pagi tadi suspek telah dihadapkan ke mahkamah dan dibenarkan reman bermula hari ini sehingga 25 Februari ini,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp di sini.

Dalam kejadian pukul 6.45 pagi Khamis lalu, suspek disyaki membelasah dan menyamun wanita di sebuah lif MRT Taman Mutiara Cheras.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan suspek sudah dikenalpasti dan dijejaki polis untuk ditangkap.

Menurut beliau, hasil semakan pada Kamera Litar tertutup (CCTV) mendapati pada jam 6.30 pagi, suspek terlebih dahulu menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam yang terletak 500 meter dari stesen MRT itu.

Katanya, suspek melarikan beberapa kotak rokok dari kedai serbaneka itu sebelum menyamun wanita itu kira-kira 6.45 pagi di lif MRT.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun.

Dalam kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan di dahi dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berhampiran. – MalaysiaGazette