Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

KAJANG – Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan sistem permohonan bazar Ramadan secara terus kepada individu disokong.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, langkah tersebut lebih telus berbanding sebelum ini.

Ia mampu ‘membunuh’ niat jahat oleh pertubuhan dan juga persatuan yang menjadi pengelola kepada tapak-tapak bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman

“Sebenarnya ia (secara individu) lebih baik daripada menyerahkan kepada persatuan atau pihak luar untuk menguruskannya.

“Ikhlas tahu banyak penyelewengan telah berlaku sebelum ini apabila permohonan bazar Ramadan bukan diurus oleh DBKL secara terus,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Mohd. Ridzuan mendakwa menerima maklum balas yang baik daripada orang – ramai khususnya pemohon baharu dan rata-rata memuji langkah proaktif DBKL itu.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, laporan polis pernah dibuat oleh Ikhlas sejak tahun 2011 berkenaan penyelewengan itu namun perkara sama masih lagi berlaku.

Beliau turut dimaklumkan terdapat ugutan diterima oleh pihak berkuasa tempatan yang dilakukan oleh persatuan-persatuan terbabit sebelum ini dengan menyatakan ancaman untuk melakukan sesuatu.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan menegaskan pihaknya mempunyai bukti yang menunjukkan ketidaktelusan pihak yang menguruskan bazar Ramadan berkenaan.

Jelasnya, pihak yang menggunakan nama persatuan itu telah menjual lot-lot bazar bermula dari RM10,000 sehingga RM40,000 dan ia merupakan laba besar kepada mereka.

Ujarnya, perkara yang berlaku telah menyebabkan lot-lot bazar berkenaan dimiliki oleh peniaga-peniaga lama sekaligus melenyapkan peluang peniaga baharu.

“Bila DBKL beri kepada semua persatuan ini ertinya peniaga baharu akan dapat rasalah untuk berniaga.

“Persatuan-persatuan ini wajar disiasat oleh pihak SPRM.

“Jadi jika persatuan-persatuan ini mengugut lagi saya rasa Pendaftar Pertubuhan kena siasat kerana mereka telah menyalahguna jawatan dan kuasa,” tegasnya.

Baru-baru ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur , Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, orang ramai kini boleh memohon permit perniagaan Bazar Ramadan 2019 yang ditawarkan DBKL secara dalam talian bermula 15 Februari lalu.

Katanya, pemohon boleh mengakses permohonan pada bila-bila masa dalam tempoh 30 hari di pautan http://elesen.dbkl.gov.my/ebazar. – MalaysiaGazette