Adly Zahari

MELAKA – Ketua Menteri Adly Zahari hari ini menepis dakwaan PAS kononnya terdapat anggota keluarga tertentu menguasai jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, antaranya melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Sebaliknya Adly berkata tiada amalan nepotisme dalam pelantikan jawatan struktur pentadbiran di negeri Melaka kerana setiap pelantikan adalah bersandarkan merit individu terlibat.

Beliau berkata pemilihan setiap pegawai dan kakitangan itu adalah berdasarkan syarat dan kriteria ditetapkan termasuk tahap kelayakan akademik serta kemampuan individu tersebut menggalas amanah serta melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

“Justeru adalah tidak wajar apabila isu lantikan individu berkaitan politik dalam perjawatan kerajaan negeri ini dimanipulasi demi kepentingan pihak tertentu” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Memperingati Tarikh Pengisyhtiharan Kemerdekaan di Ayer Keroh di sini.

Beliau mengulas dakwaan itu oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Ahmad Bilal Rahudin yang disiarkan dalam portal berita milik PAS.

Ahmad Bilal secara khusus mempersoalkan pelantikan Ketua Wanita Amanah Melaka Mahani Othman Basir sebagai Timbalan Pengerusi Zakat Melaka sedangkan suaminya Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka.

Menjelaskan dakwaan itu, Adly juga Pengerusi MAIM berkata pelantikan Mahani pada Julai tahun lepas bukan atas hubungan kekeluargaan sebaliknya beliau memenuhi kriteria ditetapkan bagi menggalas tugas tersebut dan lantikan itu langsung tidak melibatkan Mohd Sofi.

“Kita lantik dia berdasarkan merit yang ada iaitu Mahani ada pendidikan ijazah dan sedang melanjutkan pengajian diperingkat master disamping mempunyai kemampuan kepimpinan yang baik.

“Proses lantikan adalah mengikut prosedur biasa yang mana kita tidak menilai daripada sudut hubungan kekeluargaan (kerana) susah juga kalau dah ada seorang dalam kerajaan maka orang lain (anggota keluarga) tidak boleh (menyertai) memandangkan kita tiada polisi itu,” katanya.

“ Daripada segi pembuat dasar, yang membuat keputusan tidak melibatkan anggota keluarga sebagai contoh di Zakat Melaka, yang buat keputusan adalah saya sendiri dan tidak melibatkan anggota keluarga Mahani, jadi saya rasa isu ini tidak berbangkit kerana polisi kita adalah jelas,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast