Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjalan keluar selepas menghadapi pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 20 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan satu pertuduhan baharu membabitkan kes pecah amanah.

Mengikut pertuduhan tersebut, AHmad Zahid sebagai seorang ejen yang juga pemegang amanah Yayasan Akalbudi pada 23 Disember 2016 telah membuat pembayaran RM260,000 harta milik yayasan itu kepada TS Consultancy & Resources.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan penjara 20 tahun, sebatan serta denda.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Kes itu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Shazilee Abdul Khairi.

Dengan pertuduhan baharu itu, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berdepan dengan 47 pertuduhan keseluruhan membabitkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Sebutan semula kes ditetapkan mahkamah pada 28 Febuari.

Terdahulu Zahid pada 19 Oktober didakwa dengan 45 pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah.

Pada14 Disember, beliau menghadapi pertuduhan tambahan melakukan pecah amanah jenayah membabitkan wang RM10 juta milik Yayasan Akalbudi, tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette