KUALA LUMPUR – Jangan kedekut, kembalikan pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM450 untuk orang bujang, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada Menteri Kewangan.
Bukan itu sahaja, KJ menerusi ciapannya di Twitter KJ turut mendesak Lim Guan Eng mengekalkan jumlah pemberian baucar buku untuk mahasiswa dan menerusikan pemotongan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“RM450 dulu masa BR1M. Jangan kedekut @guanenglim.
“Setuju. Kembalikan RM450 BR1M bujang, baucar buku mahasiswa dan diskaun PTPTN. Now @guanenglim,” katanya.
Ciapannya itu turut disertakan juga dengan kenyataan Guan Eng semalam bahawa BSH 2019 sebanyak RM100 akan diberikan kepada individu di bawah kategori bujang pada hujung Mac ini.
Bayaran itu, kata Guan Eng, dijangka memanfaatkan lebih tiga juta individu dan melibatkan peruntukan sebanyak RM300 juta.
Barisan Nasional (BN) sebelum ini di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) memberikan RM450 kepada individu yang bujang berpendapatan RM2,000 dan ke bawah. -MalaysiaGazette