Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan memudahkan proses pendaftaran Bantuan Sara Hidup (BSF) 2019 bagi memastikan ia berjalan lancar.

Borang permohonan BSH 2019 boleh diterima walaupun pemohon tidak mengemukakan salinan dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa penghantaran. Borang berkenaan akan diproses berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Borang BSH yang dikemukakan oleh pemohon sahaja.

Pemohon juga mempunyai pilihan untuk membuat permohonan secara dalam talian, yang mana muat naik dokumen bukan lagi syarat wajib; dan

Bagi pemohon BSH yang berumur 60 tahun dan ke atas (warga emas), pemohon tidak perlu mengemaskini maklumat melainkan jika terdapat perubahan maklumat memandangkan LHDNM akan menggunakan data BSH 2018 untuk diproses.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, bagaimanapun, maklumat permohonan yang diterima daripada pemohon akan
dipadankan dengan data agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menentukan kelayakan setiap permohonan.

Menurutnya, Kementerian Kewangan akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah pemohon, khususnya jika terdapat kesulitan dalam menyempurnakan permohonan untuk BSH 2019.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 atau e-mel kepada: [email protected].

Tempoh pendaftaran/pengemaskinian BSH 2019 telah dibuka mulai 1 Februari 2019 hingga 15 Mac 2019.

Sehingga 20 Februari, lebih daripada 900,000 permohonan BSH 2019 telah diterima merangkumi 200,000 permohonan baharu dan 700,000 permohonan kemas kini. – MalaysiaGazette