KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM),  mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM 60.71 juta.

Ia merupakan peningkatan 400 peratus pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM 19.57 juta pada tahun sebelumnya.

MSM adalah anak syarikat FGV Holdings Berhad, sebuah pengeluar gula bertapis terkemuka negara.

Keuntungan bersih dari tahun ke tahun (YoY) meningkat sebanyak 197.0 peratus kepada RM 35.62 juta berbanding kerugian yang dicatatkan pada tahun 2017.

Prestasi itu didorong oleh penurunan kos gula mentah serta pemulihan nilai ringgit sebanyak 7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat seiring penurunan harga jualan purata (ASP).

MSM mencatatkan penurunan hasil tahunan sebanyak 16.0% kepada RM 2.215 billion berikutan penurunan volum jualan bagi segmen pemborong, 17 peratus pengurangan bagi ASP Industri disebabkan pengeluaran Permit Import (AP) serta persaingan tinggi yang menyebabkan penurunan sebanyak 21 peratus dalam jualan eksport.

Bagi suku keempat 2018, MSM mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM0.5 juta berbanding RM 23.3 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya berikutan peningkatan kos kewangan bagi pembayaran pinjaman serta perbelanjaan pentadbiran untuk MSM Johor.

“MSM terus berdiri teguh seiring fasa perkembangan yang progresif sepanjang perjalanan pemulihan.

“Kami telah mengukuhkan perniagaan secara berterusan serta meletakkan asas yang kuat untuk pertumbuhan melibatkan pembaharuan strategi yang lebih mantap, pengurusan kos terkawal serta peningkatan produktiviti dan kecekapan yang inklusif dalam Kumpulan.” kata Pengarah Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun yang ditinjau kekal kukuh sebanyak 5.07 sen berbanding kerugian sebanyak 5.17 sen sesaham dan nilai aset bersih sesaham meningkat kepada RM 2.79 berbanding RM 2.74 pada tahun kewangan sebelumnya.

Ini memberikan impak positif kepada MSM untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam pegangan pasaran
domestik seterusnya ke arah perniagaan mampan.

Seiring kedudukan matawang ringgit yang semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, kos purata
MSM bagi setiap metrik ton (MT) meningkat sebanyak 30 peratus dengan penurunan purata harga
belian dolar Amerika Syarikat kepada RM 4.0422 berbanding RM 4.3611 pada tahun 2017.

“Secara purata, perbelanjaan gula tahunan dianggarkan sebanyak AS$406 juta pada tahun 2018. Justeru itu, kami amat terdedah kepada ketidaktentuan harga dalam komoditi dan juga pasaran matawang.

“Dalam usaha menyokong komitmen kerajaan untuk memastikan bekalan gula yang mencukupi dalam negara, elemen-elemen pengurusan risiko telah diperbaharui seiring polisi yang telah ditetapkan dalam strategi melindung nilai,
mengurangkan kadar kerugian serta mengelakkan kontrak yang merugikan sebagai langkah proaktif dalam memastikan kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya. – MalaysiaGazette