KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) memohon sokongan kerajaan untuk tidak lagi meluluskan permit import gula baharu bagi melindungi pengeluar tempatan memandangkan gula dianggap sebagai komoditi yang strategik hampir di seluruh dunia.

Ia juga mengambil kira situasi para pengeluar tempatan yang beroperasi dalam persekitaraan perniagaan mencabar di samping kos operasi perniagaan yang meningkat secara berterusan sejak beberapa tahun ini.

Industri telah menanggung kenaikan dari aspek gaji minimum, gas dan tarif elektrik, sementara harga siling gula bertapis kekal pada RM 2.85 setiap kilogram (kg).

Secara perbandingan, pengilang-pengilang F&B pula mampu untuk mengenakan kenaikan kos kepada pengguna
sekiranya kos operasi meningkat.

Pengarah Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz berkata, industri gula telah mengharungi cabaran pada tahun 2018, yang mana buat pertama kali dalam satu dekad, harga gula mentah dunia menjunam kepada satu angka iaitu pada AS$9.91 c/lb berikutan pengeluaran melonjak di Thailand, India dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurutnya, harga gula halus mendapat tekanan apabila pengeluaran di India mencecah 35.6 juta tan pada 2017-
2018, yang melampaui bekalan pasaran domestik lalu menggesa kerajaan India untuk mengumumkan subsidi eksport sekaligus mengasak pasaran.

Melangkah ke tahun 2019/20, harga gula mentah dunia dijangka meningkat.

Selain pasaran menghala ke arah defisit berikutan penuaian tebu di Brazil beralih kepada penghasilan ethanol serta EU memberikan fokus kepada pertanian lain yang lebih menguntungkan daripada penanaman bit gula, kata Khairil Anuar.

“Hala tuju yang jelas untuk tahun 2019, MSM optimistik dalam mengukuhkan kepimpinannya dalam industri gula, meningkatkan keuntungan, memberikan pulangan kewangan dalam perniagaan teras dan merangka pertumbuhan jangka panjang yang menguntungkan,” ujarnya.

“Kami sedang merangka semula strategi perniagaan untuk kekal bersaing. Kini, kami sedang giat meniliti perniagaan hiliran yang boleh memberikan sumbangan hasil di mana produk tersebut mampu memasuki rantaian nilai dan berpontensi untuk meningkatkan pencapaian

MSM, tambahnya, mengalu-alukan perbincangan bersama syarikat-syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan dan juga antarabangsa untuk mewujudkan sebarang kerjasama terutama bagi mereka yang menggunan gula atau pemanis sebagai bahan utama. – MalaysiaGazette