PETALING JAYA – Tun Daim Zainuddin yang pernah memberi amaran awal mengenai tsunami politik 2008 dan meramal secara tepat hasil pilihan raya negara ini melihat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang sama untuk menang di Semenyih.
Menurut analisis BN, mereka mampu memenangi Semenyih dengan majoriti 300 undi. Kejayaan seorang calon keturunan Cina untuk ‘memecahkan undi’ di Semenyih juga dikatakan mampu membantu kemenangan UMNO.
“Dalam keadaan 50-50 antara PH dan BN, 300 undi itu adalah jumlah yang besar,” kata Daim kepada Sinchew Daily.
Daim berkata, kerajinan menteri-menteri untuk turun padang dan membekalkan maklumat kepada pengundi akan menambah peluang kemenangan PH dalam pilihan raya kecil itu.
Menurutnya, kekalahan di Cameron Highlands bukan disebabkan kos sara hidup atau kegagalan PH menunaikan janji, tetapi disebabkan kerajaan tidak berjaya dalam menerangkan isu serta menenteramkan rakyat.
Katanya, PH juga melakukan kesilapan apabila meletakkan calon keturunan India apabila BN menamakan calon Orang Asli di Cameron Highlands.
“Calon PH sudah pernah mengalami kekalahan sebanyak tiga kali. Kami tidak harus asyik meletakkan orang yang kalah untuk bertanding,” katanya.
Sementara itu, mengenai keputusan Pribumi Bersatu untuk menerima wakil rakyat yang berasal dari UMNO pula, Daim berkata, PH memerlukan kelebihan dua pertiga dalam Dewan Rakyat untuk melakukan reformasi dan perubahan.
Beliau juga mengingatkan bahawa kerjasama UMNO dan Pas dalam memainkan isu agama adalah berbahaya dan boleh membawa Malaysia ke arah ekstrem. – MalaysiaGazette