Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, beliau tidak faham kenapa spekulasi dan polemik boleh timbul mengenai calon Perdana Menteri 2020 sedangkan Pakatan Harapan telah bersetuju bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya calon.

“Ini merupakan satu perjanjian, maka apa yang perlu dilakukan ialah melaksanakan apa yang dipersetujui itu,” kata Daim kepada Sinchew Daily.

Ditanya sama ada Tun Dr. Mahathir Mohamad telah memberi jaminan untuk menyerah jawatan kepada Anwar, berikut jawapan Daim:

“Saya selalu berjumpa dengan Anwar, beliau memuji dan beliau percaya Dr. Mahathir.

“Tiada orang mahu menjadi Perdana Menteri dalam keadaan sekarang. Biarlah Dr. Mahathir lakukan apa yang perlu dan menyerahkan jawatannya selepas semua benda sudah dalam keadaan tersusun,” katanya.

Mengenai isu berlainan iaitu hubungan dengan China pula, Daim berkata, hubungan dua hala dengan kuasa besar Asia itu tidak terjejas oleh pembatalan dan penggantungan beberapa projek.

Beliau menjelaskan, berbanding projek, apa yang lebih dititikberatkan Beijing ialah soal “muka” .

“Oleh itu, kami harus menjaga muka China. Malaysia dan China ialah kawan baik,” katanya.

Mengenai projek Laluan Rel Pantai TimurĀ  (ECRL) pula, Daim berkata, rundingan mengenai kontrak itu masih dijalankan.

Beliau berharap, situasi menang-menang boleh dicapai apabila Dr. Mahathir melawat China untuk menghadiri forum One Belt One Road pada April nanti. – MalaysiaGazette