Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap semasa forum Analysis and Recommendation on Preventing Political Patronage and Corruption in Malaysia di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Brickfields. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yakin pimpinan DAP masih lagi menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Mahathir perlu diberikan mandat untuk terus mengetuai kerajaan dalam usaha menyelamatkan Malaysia ketika ini.

Malah katanya, perkara sama turut diambil oleh kepimpinan dalam parti gabungan Pakatan Harapan dan ia merupakan tanggungjawab kolektif sebagai mengangkat kembali status Harimau Asia dan usaha dilakukan bersama Mahathir.

“Yang Amat Berhormat Tun diberikan mandat pada PRU-14 bagi mengepalai kerajaan untuk menyelamatkan negara dan memastikan bahawa Malaysia dikembalikan semula kepada statusnya sebagai Harimau Asia dan ini tanggungjawab yang kolektif,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Forum Analisis Konflik kepentingan dan Saranan pencegahan Rasuah di Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang secara terbuka meminta  Mahathir Mohamad supaya meletakkan jawatan.

Cheng Hau berkata demikian ekoran tindakan Mahathir yang memperlekeh manifesto Pakatan Harapan (PH) apabila mengeluarkan kenyataan bahawa ‘manifesto tersebut hanyalah satu garis panduan dan bukannya Bible’ yang perlu dipatuhi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pimpinan ARMADA juga sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Cheng Hau itu.

“Dalam bab ini kita bagi sepenuh sokongan kepada Perdana Menteri. Saya yakin semua pimpinan dalam PH termasuk parti dia (DAP) sendiri memberi sokongan penuh kepada Mahathir,” ujarnya. – MalaysiaGazette