Tentera Rusia dilarang menggunakan telefon pintar semasa bertugas. foto Agensi

MOSCOW – Parlimen Rusia bersetuju untuk mengharamkan anggota tenteranya menggunakan telefon pintar semasa bertugas selepas penggunaan sosial media menimbulkan isu keselamatan negara.

Rang Undang-Undang itu menghalang anggota tentera menggunakan telefon yang boleh mengambil gambar, merakam video dan akses kepada Internet.

Anggota tentera juga tidak boleh menulis mengenai ketenteraan atau bercakap dengan wartawan.

Lebih daripada 400 daripada 450 pembuat undang-undang Rusia di Dewan Rakyat menyokong pelaksanaan dasar tersebut.

Namun, telefon yang berfungsi untuk panggilan dan kemudahan mesej masih dibenarkan.

Tablet dan laptop juga tertakluk kepada pengharaman tersebut.

Keputusan itu dibuat selepas data media sosial tentera seperti Bellingcat telah mendedahkan aktiviti rahsia tentera, kadangkala berlaku pada waktu sebenar.

Rang Undang-Undang itu kini perlu diberi pertimbangan oleh Dewan Negara, Majlis Persekutuan sebelum ditandatangan untuk dijadikan undang-undang oleh Presiden Vladimir Putin.

Rusia berkata, langkah yang diambil itu adalah sepatutnya untuk melindungi maklumat tentera daripada perisik asing.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hantaran yang dibuat oleh anggota tentera di media sosial telah mendedahkan kehadiran ketenteraan Rusia di timur Ukraine dan Syria, kadang-kadang bertentangan dengan tuntutan rasmi kerajaan yang tidak mempunyai pasukan di sana. – MalaysiaGazette