Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman

PUTRAJAYA – Srbanyak 3.2 juta rakyat negara ini didapati tinggal di kawasan berisiko tinggi penyalahgunaan dadah yang dikenalpasti oleh pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mendedahkan parangkaan tersebut dengan menyatakan elemen persekitaran kehidupan yang tidak kondusif menjadi penyumbang kepada faktor risiko dalam penyalahgunaaan dadah.

Malah kata beliau, setelah 36 tahun, trend penggunaan dadah telah berubah, daripada dadah yang berasaskan tumbuhan (plant based) seperti ganja dan heroin, kini telah beralih kepada dadah sintetik seperti syabu dan ectacy serta pil psikotropik.

“Kesan mudaratnya lebih merbahaya daripada dadah organik kerana dadah-dadah jenis sintetik ini mempengaruhi tingkah laku kepada pengguna dan penagih dadah yang menggunakannya.

“Jumlah salahguna dan penagih dadah sepanjang tahun 2018 yang dikesan merekodkan sejumlah 161,945 orang. Daripada jumlah tersebut sahaja, sejumlah 116,204 orang penagih telah kenalpasti AADK.

“Peningkatan penyalahgunaan dadah jenis Methamphitamine serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru atau New Psychoactive Substances (NPS) adalah ancaman utama kepada masalah penagihan dadah pada masa kini. Sehingga Disember  2017, kemunculan  NPS telah dilaporkan di 111 buah negara.

“Pada tahun 2009, hanya 340 jenis NPS telah ditemui. Jumlah ini meningkat kepada 803 jenis NPS pada tahun 2017, iaitu peningkatan sebanyak 136 peratus.

“Di Malaysia, sejak Januari hingga Disember 2018, dadah jenis Methamphetamine seperti Syabu dan Pil Kuda adalah jenis dadah yang paling banyak disalah guna diikuti oleh dadah jenis Heroin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Bulan Anti Dadah Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya sebentar tadi.

Tambah Azis lagi, dadah menjadi sumber pendapatan yang lumayan dan menjadi tarikan berterusan kepada golongan tertentu.

Nilai rampasan pada tahun  2018 adalah sebanyak RM 516.3 juta, meningkat sekali ganda berbanding tahun 2017 iaitu RM 292.2 juta.

“Ini menunjukkan bahawa sindiket pengedaran dadah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan tindakan undang-undang dan kesan kemusnahan terhadap penggunaannya.

“Jauh sekali mereka memikirkan kesannya yang amat buruk kepada penagih dadah, keluarga, masyarakat serta negara. Bagi golongan ini, kerajaan amat komited dan akan terus memerangi mereka sehabis mungkin,”ikrarnya.

Dalam pada itu, Azis juga menasihati keluarga yang mempunyai penagih dadah supaya tidak terus mengabaikan atau menolak mereka sehingga menyebabkan mereka kembali semula kepada aktiviti tidak sihat itu.

“Hal ini amat membimbangkan kerana potensi untuk kembali menagih dalam kalangan mereka yang terlibat dalam masalah penagihan dadah adalah tinggi jika tidak dibantu dengan sewajarnya.

“Keluarga menganggap bekas penagih dadah sebagai bebanan yang telah menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya, menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga, memecah-belahkan keluarga dan sebagainya.

“Hakikatnya, penagih dadah memerlukan sokongan daripada ahli keluarga mereka bagi mengurangkan ketagihan semula dan kekal pulih, usah tolak mereka,” ujarnya. -MalaysiaGazette