Najib Razak
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama penyokong selepas selesai sesi ceramah bersama Bossku sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 22 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Kali kedua turun padang dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau terpegun dengan sokongan yang diterima beliau hari ini.

Tambah Najib, sokongan ini tidak pernah beliau perolehi biarpun semasa memegang jawatan Perdana Menteri keenam.

“Saya bangga sehari dua ini saya dapat sokongan luar biasa. Masa saya jadi PM tidak dapat sambutan macam ini.

“Saya pun pening, patutnya jadi Perdana Menteri dapat hebat sokongan tapi tak jadi PM lagi hebat,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 pengundi Semenyih di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) dalam Pusat Daerah Mengundi Bandar Rinching sebentar tadi.

Ahad lalu, kehadiran Najib mencuri perhatian penduduk lebih 1,000 orang di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma berbanding Pakatan Harapan (PH) yang dihadiri kurang 100 orang.

Kedua-dua ceramah berkenaan dijalankan dalam kawasan pangsapuri yang sama dengan perbezaan jarak kira-kira 100 meter.

Kehadiran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ke tempat ceramah PH ternyata gagal menarik perhatian pengunjung. -MalaysiaGazette