IRDA
Tun Dr. Mahathir Mohamad bergambat dengan ahli lembaga Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar semalam.

KUALA LUMPUR – Kawasan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia kepada 4,749 kilometer persegi berbanding 2,217 kilometer persegi sebelum ini berikutan pertumbuhan kukuh kawasan tersebut.

Ia meliputi daerah Kota Tinggi, Kluang dan Pontian.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, ahli lembaga percaya pembesaran kawasan itu akan membolehkan Iskandar Malaysia menawarkan lebih banyak tanah untuk dibangunkan pada harga mampu dan dalam masa sama membawa masuk pertanian moden sebagai salah satu sektor baharunya.

“Daripada aspek pertumbuhan ekonomi, Iskandar Malaysia mencatatkan komitmen pelaburan sebanyak RM32.23 bilion pada 2018 yang mana RM22.03 bilion mewakili pelaburan yang telah direalisasikan.

“Ia menyumbang kepada komitmen pelaburan kumulatif sebanyak RM285.34 bilion untuk tempoh pada 2006 hingga 31 Disember 2018,” katanya dalam kenyataan.

Pembesaran kawasan itu diluluskan ahli lembaga semasa mesyuarat IRDA ke-24 semalam.

Hadir pada mesyuarat itu, Perdana Menteri, Tun, Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersama IRDA.

Sehingga kini, pelabur tempatan telah menanam modal sebanyak RM194.81 bilion, iaitu 62 peratus daripada jumlah kumulatif komitmen pelaburan manakala baki RM90.51 bilion (38 peratus) datang daripada pelabur asing.

Lima negara utama yang melabur di Iskandar Malaysia ialah China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

Ismail berkata, berikutan lebih banyak pelaburan memasuki Iskandar Malaysia maka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan diwujudkan, namun terdapat jawatan yang tidak diisi oleh warga Malaysia, khususnya golongan remaja.

Oleh itu, katanya, Iskandar Malaysia akan meningkatkan usaha menarik golongan remaja tempatan mengambil kesempatan memasuki pasaran kerja.

Menurut Ismail, antara peluang pekerjaan Iskandar Malaysia tawarkan ialah dalam sektor pertanian, khususnya dengan kelulusan kawasan baharu itu.

“Ini sepatutnya diperuntukan bagi industri pertanian dan bukan hanya untuk penggunaan tempatan tetapi juga untuk tujuan eksport,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir Mohamad berkata, Iskandar Malaysia telah mencatatkan kemajuan yang konsisten sejak 2006 dan ia akan membantu Malaysia mengembalikan semula status Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’.

“Ketika agensi ini memacu pembangunan, saya kekal optimistik terhadap peranan dan tanggungjawab IRDA dalam menyokong pembangunan negeri Johor dan agenda negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast