KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia semalam menggempur sebuah premis di Bandar Puteri Puchong dekat sini yang  menjalankan aktiviti pelacuran melalui applikasi sembang Wechat.

Premis yang sebelum itu pernah diserbu untuk tujuan yang sama beberapa kali didapati menawarkan perkhidmatan seks pada RM178 bagi tempoh 45 minit kepada pelanggan.

Pasukan serbuan berjaya menahan seramai 18 orang warga asing iaitu 10 wanita Vietnam dan lima wanita Indonesia dipercayai melakukan akitiviti pelacuran.

Manakala dua lelaki Myanmar pekerja premis dan seorang warga tempatan yang menjadi penjaga dan penyelia premis turut ditahan.

Selain itu, seramai 11 orang pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Aktiviti pelacuran ini giat dijalankan walaupun beberapa kali telah diserbu oleh pihak penguatkuasa sebelum ini. Warga asing yang terlibat dapat mengumpul wang dalam jumlah yang besar melalui kegiatan maksiat atau pelacuran seperti ini tanpa rasa takut terhadap pihak berkuasa dan juga undang-undang,” kata kenyataan Jabatan Imigresen hari ini.

Premis yang dipercayai disewa  tanpa esen perniagaan yang sah dan  beroperasi 24 jam sehari itu juga didapati mempunyai ‘tonto’ yang akan selalu berada di luar premis untuk mengawasi pergerakan pihak penguat kuasa.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.

Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Unit Quick Response Team (QRT) Putrajaya bermula jam 7.00 malam 21 Februari 2019 melibatkan 11 orang pegawai imigresen.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast