Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown
Clare Rewcastle Brown

SEMENYIH – Ahli Barisan Nasional (BN) yang juga seorang peguam, Adzly Abd Manas mempersoalkan sumber kewangan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown ketika berdepan saman daripada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sumber kewangan Pas jelas.

Tetapi mengapa tiada pihak yang bertanya bagaimana Clare membiayai bayaran guaman, menurut laporan Malaysiakini.

“Untuk meneruskan kes litigasi ini kosnya amat-amat tinggi. Kita sudah tahu PAS memang dapat (dana) daripada ahli, orang panggil ‘tin milo’ (tabung derma).

“Tetapi kita tak pernah tanya pun mana Clare dapat duit. Agak-agaknya dia dapat duit daripada mana untuk cari (dan bayar) peguam?” soalnya ketika Program Bual Bicara Santai Bawang Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih di bilik gerakan pusat daerah mengundi (PDM) Taman Kantai Permai semalam.

Adzly mempertahankan keputusan Hadi untuk menyelesaikan saman itu di luar mahkamah dengan berkata. ia bagi mengelakkan pembaziran wang dan masa.

“Kalau diteruskan kita hanya menghabiskan masa dan duit nak bayar peguam sahaja. Mana nak cekau duit ni?” soalnya lagi.

Dia turut mempersoalkan langkah Clare yang tidak meneruskan tuntutan balasnya terhadap Hadi walaupun boleh berbuat demikian.

“Dalam kes litigasi, apabila plaintif atau penuntut (claimant) menarik kes, tuntutan balas oleh defendan akan menjadi tuntutan utama (main suit) secara automatik. Maknanya dia (Brown) boleh teruskan saman,” katanya lagi.

Dalam penyelesaian luar mahkamah antara Hadi dengan Clare pada 1 Februari lalu, Hadi menarik balik tuntutan daripada defendan; manakala Clare selaku defendanmenarik balik tuntutan balas terhadap Abdul Hadi; serta tiada perintah berkenaan kos untuk kes itu.

Abdul Hadi mengambil tindakan undang-undang terhadap Brown di London pada 21 April 2017.

Ia selepas laporan portal Sarawak Report mendakwa pemimpin Pas menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong BN dan UMNO. – MalaysiaGazette