KUALA LUMPUR – Setelah menunggu sekian lama menunggu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjejaki anak perempuan Indira Gandhi, akhirnya beberapa pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu.

Malah wang ganjaran sebanyak RM10,000 ditawarkan kepada sesiapa yang boleh memberikan  maklumat berkaitan Prasana Diksa.

Prasana dilarikan bapanya ketika dia berumur 11 bulan pada tahun 2009.

Indira Gandhi yang semakin berputus asa dengan polis  akan bertindak memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun kerana gagal mengesan suami serta anaknya walaupun mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap sejak 2014.

Januari tahun ini juga, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama satu pihak menyalahi undang-undang.

Bapa Prasana, Muhammad Riduan Abdullah yang kini mualaf bertindak masuk Islam, selain  ‘mengislamkan’ ketiga-tiga anaknya termasuk Prasana tanpa persetujuan Indira.

Dia kemudian bertindak melarikan diri dengan membawa Prasana yang baru sahaja berusia 11 bulan pada tahun 2009 dan sehingga kini masih lagi gagal ditemui.

52602987_10216011774860167_507386588578185216_o

Menurut  Pengerusi Kumpulan Indira Gandhi Action Tema (Ingat), Arun Dorasamy yang menggerakkan inisiatif ini bersama-sama beberapa individu bersimpati dengan nasib menimpa Indira Gandi berkata, pihaknya juga mendapat beberapa maklumat lain.

Dakwa Arun, terdapat khabar angin bahawa Riduan tinggal di Selatan Thailand tetapi mereka tidak dapat mengesahkan perkara itu.

“Hanya polis boleh sahkan berita ini benar atau tidak, jika mereka tidak gerak mencari, sangat tidak adil buat anak kecil itu yang telah membesar tanpa ibunya.

“Ini bukan soal mengabaikan anak, ibunya, Indira Gandhi selama bertahun-tahun berhempas pulas dan tidak berputus asa. Adalah sungguh tidak adil, bayangkan perasaan ibu yang telah terpisah dengan anaknya sejak sekian lama.

“Kami juga mendapat tahu nombor MyKid Prasana telah ditukar sehingga menyukarkan usaha untuk mengesan lokasi kedua-dua mereka sehingga saat ini.

“Daripada ‘pasukan siasatan’, kami mendapat maklumat data berkaitan Prasana tidak ada dalam mana-mana pangkalan data sistem pendidikan.

“Kami juga syak ada langkah mengeluarkan nombor pengenalan baharu secara tidak sah, dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” dakwa Arun dalam sidang media.

Susulan daripada maklumat-maklumat tidak sahih itu, Indira Gandhi bersama-sama Ingat telah membuat laporan rasmi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap JPN, KDN serta bekas menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Arun, wang ganjaran itu diharapkan dapat sedikit sebanyak membantu memberi pencerahan terhadap misteri kehilangan Muhamad Riduan serta Prasana.

Malah, katanya, dana itu mungkin bertambah dari masa ke semasa selepas ini.

Dalam pada, Indira Gandhi dalam nada emosional masih lagi berharap akan ada sinar buatnya supaya Prasana dapat dijejaki.

Katanya, sehingga kini tiada siapa tahu apa yang telah berlaku kepada anak bongsunya sehingga kini.

“Ada banyak khabar angin, desas desus yang sebenarnya menakutkan saya. Tanpa ibunya di sebelahnya, bayangkan traumanya. Dia akan berumur 12 tahun, dengan pelbagai kes termasuk rogol dan penderaan, saya harap semua kesukaran ini akan berakhir, saya hanya mahu anak saya kembali,” tangisnya.

Indira Gandhi yang juga mempunyai dua lagi anak Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20 tinggal bersamanya, tidak kisah jika anak bongsunya itu mahu terus kekal dalam agama Islam.–MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/23/11-tahun-terpisah-indira-bimbang-nasib-prasana/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast