KUALA LUMPUR – Kelana Ventures Sdn Bhd (KVSB), sebuah syarikat yang dimiliki jutawan Syed Mokhtar Albukhary menafikan memperoleh diskaun RM258 juta daripada Kementerian Pertahanan dalam perjanjian pertukaran tanah.

Ini berhubung 16 projek Kementerian Pertahanan, yang dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM500 juta kerana salah urus dan faktor lain.

Khamis lalu, pegawai khas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu Mohd Nasaie Ismail membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

Bernama memetik Nasaie sebagai berkata, projek itu dijalankan oleh sebuah syarikat swasta sebagai pertukaran untuk tanah kem tentera di Kinrara.

Nasaie berkata, urus niaga itu menimbulkan persoalan, memandangkan kerajaan terdahulu telah menilai tanah itu pada harga RM500 juta, tetapi berharga RM758 juta oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

The Edge kemudian memetik sumbernya sebagai berkata, syarikat itu adalah KVSB.

Dalam satu kenyataan kepada The Edge hari ini yang dilihat oleh Malaysiakini, pengarah KVSB Ahmed Kamil Mustafa Kamal menjelaskan bahawa penilaian RM500 juta untuk kem tentera itu adalah berdasarkan “keadaan sedia ada”.

Ahmed Kamil menambah penilaian itu tidak mengambil kira premium penukaran masa depan yang perlu dibayar untuk mendapatkan status komersil dan kediaman, serta sekatan dan syarat lain yang mungkin dikenakan oleh kerajaan negeri Selangor.

Sebagai pertukaran untuk tanah kem di Kinrara, beliau berkata, KVSB akan membina kem tentera baru di Paloh, Johor dengan harga RM280.7 juta.

Ia juga akan membina pusat latihan pengurusan logistik baru di Sendayan dengan kos RM137.3 juta, serta ibu pejabat TUDM di Kementah dengan kos RM81.9 juta.

Jumlah kos bagi ketiga-tiga projek itu adalah RM499.9 juta.

“(Tetapi) perjanjian pertukaran tanah dan perjanjian untuk membina kemudahan-kemudahan di atas masih belum ditandatangani antara KVSB dan Kementerian Pertahanan.

Pembinaan Kem Paloh dimulakan ketika era Hishammuddin Hussein sebagai menteri pertahanan. Paloh berada di kawasan Parlimen Hishammuddin, Sembrong.

Hishammuddin berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan dan mengalukan-alukan siasatan terhadap skandal itu. – MalaysiaGazette