Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berucap semasa sesi sidang media pada Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) 2019 di Bukit Jalil Golf (amp) Country Resort, Bukit Jalil, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk menghapuskan kutipan kadar tol di beberapa lebuh raya terpilih di ibu negara merupakan langkah penyelesaian jangka masa panjang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, cadangan itu juga adalah usaha permulaan kerajaan bagi menghapuskan bayaran tol secara berperingkat.

Beliau menjelaskan ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneruskan agenda bagi memenuhi janji manifesto yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Pada masa sama, kerajaan juga ingin menggalakan pengguna jalan raya mengamalkan sistem berkongsi kereta dan menggunakan pengangkutan awam.

“Pemansuhan tol seperti dalam manisfesto ini akan dipenuhi dan cadangan ini sebagai langkah permulaan secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Boling Mesra Media Wanita Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengumumkan cadangan pemansuhan tol yang akan dilaksanakan pada bukan waktu kemuncak iaitu antara 11 malam hingga 5 pagi.

Menerusi cadangan itu, pada waktu biasa, pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada.

Perkara itu merupakan antara cadangan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

Jelas kenyataan itu, kerajaan juga telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya, yang mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti. – MalaysiaGazette