Ratu Rock Malaysia, Ella bergambar kenangan bersama 200 pemuzik yang mengiringi persembahannya pada sidang media Ella Unplugged In Kl- Kitalah Bintang di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Gimik persembahan penyanyi Ella yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) hari ini ini berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Dikenali Gagasan Muzik Kitalah Bintang, persembahan yang disertai 200 pemuzik telah bersama-sama menyanyikan lagu hit Ella iaitu Kitalah Bintang.

Pemuzik yang terlibat adalah pelajar-pelajar dari jurusan muzik Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang diketuai Ritz selaku pengarah muzik.

Acara itu diadakan bersempena dengan Konsert Ella Upplugged In KL yang bakal berlangsung di Istana Budaya selama tiga malam bermula 29 Mac ini.

Untuk rekod, Ella Gimik pernah melakukan acara flashmob sempena Konsert Ella 2016 di tempat sama dua tahun lalu bersama 100 pemuzik yang turut disenaraikan dalam The Malaysia Book of Records.

“Persembahan ini bukan gimik semata-mata tapi lebih berkongsi peluang kepada anak-anak muda ini sebagai pendedahan mereka pada masa akan datang.

“Ia adalah idea Ella bersama penganjur bagi menambah kemeriahan konsert pada bulan depan,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

MGF25022019_PC ELLA UNPLUGGED 03
Antara 200 pemuzik yang mengiringi persembahan Ratu Rock Malaysia, Ella pada sidang media Ella Unplugged In Kl- Kitalah Bintang di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2019.

Sementara itu, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin memberitahu, persediaan konsertnya pada bulan depan sudah mencapai tahap 55 peratus.

Enggan mengambil tahu jumlah jualan tiket ketika ini, Ella berkata, fokusnya hanya untuk memberi persembahan terbaik selama tiga malam itu.

Apatah lagi buat julung kalinya dia akan menampilkan konsep akustik di Istana Budaya dan menyampaikan lagu asli yang semakin dilupakan oleh generasi muda sekarang.

“Genre asli dan rock sangat berbeza tetapi saya mahu generasi akan datang dengar dan segarkan ia kembali walaupun zaman sudah maju dan berubah.

“Saya akan cuba menyampaikannya dalam genre asli sebaik mungkin bagi menghargai karya ini,” katanya.

Konsert Ella Unplugged in KL akan menampilkan lebih 20 lagu hit ratu rock itu yang dialunkan dalam bunyi akustik diiringi pemuzik terdiri daripada alumi dan pelajar tahun akhir ASWARA.

Tiket boleh dibeli sejak 2 Januari lalu serendah RM159 hingga RM519 di Proticket atau laman sesawang www.proticket.com.my. – MalaysiaGazette