Waytha
P. Waytha Moorthy

KAJANG – Rakyat di negara ini diharap tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kehadiran beberapa berhala di Surau Sabilul Huda, Klang baru-baru ini.

Menteri bertanggungjawab mengenai perpaduan, P Waytha Moorthy berkata, semua pihak harus membiarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terlebih dahulu, malah rakyat tidak harus bertindak di luar kawalan mengenai isu ini.

“Jangan buat apa-apa spekulasi, perkara ini sedang disiasat oleh polis dan kita biarkan mereka buat siasatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Interaksi Latihan Industri Perpaduan bersempena Sambutan Tahun Baru Cina di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), hari ini.

Senator itu diminta mengulas mengenai kehadiran beberapa berhala yang diletakkan di atas pagar surau berkenaan pada Ahad.

Dalam pada itu, Waytha turut berterima kasih kepada jemaah dan pihak pengurusan Surau Sabilul Huda yang tidak mudah panik dan pantas menyerahkan perkara itu kepada siasatan polis.

“Saya juga mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Surau kerana menangani perkara ini dengan cara yang berkhemah dan membiarkan polis ambil tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya ada menerima laporan awal mengenai insiden itu daripada Jabatan Perpaduan Negara, namun beliau enggan mendedahkan hasil laporan berkenaan kepada media.

“Kementerian telah hantar pegawai Jabatan Perpaduan ke surau berkenaan dan telah menjalankan perbincangan dengan pihak berwajib.

“Kita ada terima laporan awal tetapi kita tidak boleh dedahkan dan kami biarkan polis buat siasatan,” katanya lagi.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah yang berada kira-kira 200 meter dari surau itu di Taman Pandamar Indah, jam 6.15 petang semalam.

Shamsul berkata, suspek yang meletakkan patung berhala di surau berkenaan dipercayai mempunyai masalah mental ‘gila isim’ selepas dipercayai mempelajari ilmu agama yang salah di negara jiran.

Rabu lalu, jemaah surau itu turut menemui berhala ‘Datuk Gong’ bersaiz lebih besar diletakkan di tepi pintu masuk surau itu. -MalaysiaGazette