Nasruddin Hasan
Nasruddin Hasan

KUALA LUMPUR – Pas terkilan dan kesal tindakan polis membebaskan pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai yang telah memuatkan karikatur biadab menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda.

Tindakan itu telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam mengapa suspek dibebaskan begitu mudah, sedangkan sebanyak 395 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap individu terbabit.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Nasruddin Hasan berkata, lelaki berbangsa Cina itu disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tetapi hanya direman tiga hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Walhal, seorang wanita yang menghina Nabi Muhammad tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 298 juga telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000.

“Mengikut fakta kes, tindakan individu biadab itu tidak wajar untuk dilepaskan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Foo Sing Wai yang ditahan kerana menghina Nabi Muhammad dalam laman sosial Facebooknya baru-baru ini, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat lalu.

Ketua Komunikasi Korporat Polis, Urusetia Ketua Polis Negara )(KPN), Datuk Asmawati Ahmad dilaporkan berkata, warga emas berusia 68 tahun itu dibebaskan kira-kira jam 11 pagi.

Suspek ditahan pada 19 Februari lalu di Mentakab, Pahang, sebelum direman tiga hari bagi membantu siasatan menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda, Saidatia Aisyah.

Menurut Nasruddin, Pas menuntut penjelasan daripada pihak berwajib bagi meredakan keresahan umat Islam kerana ia adalah satu provokasi yang jelas mengundang suasana buruk.

Ujar beliau, tindakan inidividu biadab itu sewajarnya dikenakan hukuman berat dan karikatur menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda tidak dapat dimaafkan oleh umat Islam di negara ini.

“Kerajaan Malaysia juga mesti tegas bertindak. Jaga agama Islam dan sensitiviti penganutnya. Jika kerajaan malas dan lembab bertindak, ia menyebabkan penghina agama ini makin berani dan nekad.

“Jika tiada tindakan tegas, rakyat pasti akan bangkit dan himpunan raksasa akan diadakan untuk mendesak kerajaan bertindak,” katanya.

Sementara itu, petang ini, Wira Perkasa akan menghantar memorandum gesaan agar segera mendakwa penghina Rasulullah yang dilepaskan dengan jaminan polis.

Memorandum itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa pada jam 2.30 petang ini di pintu masuk utama polis Bukit Aman di sini. – MalaysiaGazette