Mohmad Sabu
Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan hanya akan membuat laporan polis jika wujud keperluan dalam kerugian lebih RM500 juta  pada urusniaga ‘land swap’. (penswastaan untuk memajukan tanah) yang membabitkan tanah kementerian itu sejak 1997.

Menterinya Mohamad Sabu berkata , setakat ini kes berkenaan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini kita mendapati kes berkenaan tidak ada kaitan dengan polis sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan SPRM untuk disiasat secara telus,” katanya dalam sidang media di Jalan Padang Tembak hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan serta Pekerti Terbilang 2019 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini.

Menurut Mohamad, setakat ini belum ada perkembangan terbaharu terhadap laporan SPRM yang dibuat pihaknya di Putrajaya.

“Kita dah buat laporan kepada SPRM dan setakat ini belum ada apa apa perkembangan baharu lagi, kita serahkan kepada mereka untuk bertindak,” ujarnya.

Pada 21 Februari lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan SPRM setelah mendapati kerajaan mengalami kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, pendedahan dibuat hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Katanya, laporan siasatan berkenaan kemudian dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu.

“Semua kerugian dan ketirisan itu membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 2,923 ekar (1,183 hektar) tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Menurutnya, wujud keraguan dalam penilaian tanah asal projek ‘land swap’ ini apabila pentadbiran terdahulu menetapkan nilai tanah tapak Kem Kinrara berjumlah RM500 juta sedangkan penilaian yang dibuat oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah RM758 juta.-MalaysiaGazette