Mohamad sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyampaikan anugerah kepada penerima, Zurainie Zaidi (kiri) sambil diperhatikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf (dua kanan) dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Serta Pingat Perkhidmatan Dan Pekerti Terbilang 2019 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – “Lima 2019 yang paling hebat tahun ini,” kata Mohamad Sabu ketika ditanya tentang kelainan yang boleh diharapkan pengunjung pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019 yang akan berlangsung daripada 26 hingga 30 Mac ini.

Menteri Pertahanan itu berkata, sememangnya paling hebat tahun ini kerana ada pertunjukkan gabungan aerobatik dari Rusia, Indonesia dan Malaysia.

“Penempahan pempamer kali ini menjangkaui lebih 109 peratus daripada jangkaan asal kami berbanding 65 hingga 67 peratus semasa pameran sebelum ini sehingga semuanya habis dibayar dan ia juga penghargaan kepada kawasan Perdana Menteri, Tun M,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau, kehebatan LIMA bukan daripada segi pertunjukan aerobatik

“Ukuran kehebatan LIMA adalah daripada segi penyertaan apabila semua ruang telah ditempah dan kualiti ruang yang lebih luas mencakupi 11,037 meter persegi.

“India dan Belarus buat julung kali menyertai LIMA dan akan mempamerkan segala aset canggih dan ada juga negara yang masih memohon ruang cuma kami tak mampu nak sediakan lagi,” katanya dalam sidang media diiringi Panglima ATM Jeneral ,Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin di Wisma Perwira di sini.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 kepada 459 orang kakitangan kementerian itu.

Dalam perkembangan sama, katanya, pameran LIMA 2019 buat julung kali menyepadukan komersial dan pertahanan.

“Kalau sebelum ini ia lebih kepada keselamatan dan pertahanan sahaja tetapi kali ini Kementerian Pengangkutan juga terlibat mempamerkan perniagaan komersial awam dan teknologi sebanyak 40 peratus dan 60 peratus pertahanan,” jelas beliau.

Turki merupakan pempamer terbesar LIMA2019 diikuti Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Perancis

Setakat ini, tambah beliau, lebih 350 buah syarikat pertahanan dari 31 buah negara mengesahkan penyertaan mereka. – MalaysiaGazette