Zaharani
Temubual bersama Unit Berkuda FRU, Zaharani Abdul Manaf sempena Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan FRU Ke-63 di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – “FRU ini sangat unik, semangat persaudaraan, tak pernah terima penghargaan seperti ini dari IGP (Ketua Polis Negara – KPN)”.

Itu reaksi anggota unit berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Sarjan Zaharani Abdul Manaf, 48, yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara sempena Ulang Tahun Ke-63 FRU di Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras hari ini.

Katanya, sepanjang 28 perkhidmatannya dalam bidang kepolisan termasuk FRU, beliau terharu kerana terpilih bersama 266 anggota dan pegawai untuk menerima pingat itu.

“Sangat terharu apabila dapat tahu nama saya tersenarai dalam penerimaan pingat Jasa Pahlawan Negara.

“Berbaloi berdiri dalam keadaan cuaca panas terik, IGP (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ) sporting sanggup melayan kami menyemat pingat satu persatu.

“Kesetiaan saya kepada pakaian seragam segak dan unik ini dibalas dengan penghargaan sebegini,” katanya yaaaaaaang merupakan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di sini.

Kata ibu kepada dua anak dan dua cucu itu, minatnya untuk menyertai pasukan polis berputik sejak zaman sekolah lagi.

“Saya cuba nasib memohon kerana teman saya pun memohon. Cuma tak sempat habis SPTM dipanggil latihan dan berjaya juga tamat STPM sambl berlatih.

“Saya suka sebab kerja yang unik dan segak. Latihan kawat menyuraikan rusuhan sentiasa diminati. Lagipun saya sepatutnya naik unit berkuda untuk perbarisan tetapi disebabkan menerima pingat, saya terpaksa menyertai perbarisan biasa,” ujarnya.

Beliau telah menamatkan latihan kepolisan di Pusat Latihan Polis Air Hitam (Pulapah), Jempol, Negeri Sembilan pada 1991 sebelum ditukarkan ke IPK Terengganu.

Katanya, beliau terus berpindah ke ibu negara selepas ditukarkan ke FRU pada 2003.

Zaharani yang  terlibat dalam penyuraian rusuhan semasa Himpunan Hindraf pada 2007 merupakan cabaran yang benar-benar menguji fizikal dan mental beliau.

“Apa yang tak dapat dilupakan ialah pernah terkepung dalam perhimpunan itu di Jalan Ampang menghala ke KLCC.

“Masa itu saya ikut pasukan Pulau Pinang, ke Jalan Ampang di hadapan Hotel Nikko sebelum dikepung anggota Hindraf.

“Pasukan kami bagaimanapun berjaya mengawal keadaan dan berjaya keluar dari lokasi tegang ketika itu. itulah pengalaman sangat mencabar yang tak dapat dilupakan dalam karier saya sehingga hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette