Shaharizukirnain Abdul Kadir
Shaharizukirnain Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Golongan ibu bapa sewajarnya menyokong cadangan kerajaan untuk mewajibkan suntikan vaksin imunisasi kepada anak-anak mereka sebelum sesi persekolahan.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, ibu bapa seharusnya mengambil serius mengenainya susulan kematian akibat tidak divaksin semakin meningkat.

“Cadangan kerajaan bagi mewajibkan suntikan vaksin sebelum menyertai sesi persekolahan wajar disokong bagi membendung gejala penyebaran penyakit berpunca daripada kanak-kanak yang tidak divaksin.

“Kebanyakan kes berpunca daripada ibu bapa enggan menerima suntikan ini yang jelas mampu mencegah difteria, measles, mumps dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 21 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan di Johor Bahru meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kanak-kanak berkenaan tidak pernah menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

Mangsa mengalami demam, batuk dan bengkak tonsil pada 16 Februari dan dibawa ke unit kecemasan hospital pada 18 Februari lalu sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi paediatrik untuk bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria.

Shaharizukirnain juga berkata, cadangan itu selari dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan kewajipan ke atas ibu bapa mengambil vaksin untuk anak-anak mereka.

“Justeru itu, ibu bapa digesa agar mengambil serius terhadap pengambilan suntikan vaksin ini.

“Ia sebagai perlindungan kepada kanak-kanak sekali gus kematian disebabkan oleh kurang imunisasi mampu dicegah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette