Lorong kenderaan berat di pusat pemeriksaan Tuas masih ditutup berikutan kemalangan melibatkan sebuah bas yang menyebabkan seorang maut manakala 16 lagi cedera awal pagi ini.

SINGAPURA – Lorong kenderaan berat di pusat pemeriksaan Tuas masih ditutup berikutan kemalangan melibatkan sebuah bas yang menyebabkan seorang maut manakala 16 lagi cedera awal pagi ini.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam perkembangan terkini menerusi Facebook pada 9 pagi berkata, keadaan trafik terus sesak disebabkan waktu puncak.

Terdahulu, pihak berkuasa itu berkata kemalangan jalan raya itu telah menghalang laluan kenderaan berat yang mana bas dan lori yang tiba di Singapura tidak dapat memasuki pusat pemeriksaan.

“Bas dan lori tidak dapat memasuki pusat pemeriksaan, manakala trafik keluar dari Singapura terjejas kerana bas dan lori dilencongkan ke Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, ICA berkata lalu lintas bagi kereta dan motosikal yang tiba dan keluar Singapura di Pusat Pemeriksaan Tuas kembali normal sekitar 7 pagi.

Sementara itu, The Straits Times melaporkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.25 pagi.

“Satu mayat dijumpai manakala 16 orang yang cedera dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan Hospital Universiti Nasional,” kata SCDF.

Gambar-gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan kemalangan itu melibatkan sebuah bas kilang yang merempuh susur dekat pusat pemeriksaan itu.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast