KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu melaksanakan caj kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan memandangkan ia adalah lebuh raya paling sesak di negara ini.

Secara sinis, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tidak logik jika caj tersebut tidak dilaksanakan di lebuh raya berkenaan jika ia baik untuk rakyat.

Presiden MCA itu membuat sindiran demikian selepas Pakatan Harapan didakwa bersungguh-sungguh mempertahankan pelaksanan caj kesesakan yang akan diperkenalkan jika kerajaan berjaya membeli dan mengambil empat lebuh raya milik Gamuda Berhad.

Lebuh raya itu ialah Lebuh raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Sebelum ini, Ka Siong mendakwa caj kesesakan itu adalah kadar yang sama dengan bayaran semasa tol yang ditukar nama sahaja.

“Mereka malu untuk mengaku bahawa mereka tak dapat tepati janji manifesto untuk menghapuskan semua tol sama sekali.

“Oleh itu, mereka kata caj kesesakan amat diperlukan dan adalah baik untuk rakyat walaupun belum lagi sempat untuk isytihar caj ini bertepatan dengan Maqasid Syariah. Mungkin pemimpin Amanah belum baca Wechat mereka untuk keluarkan kenyataan,” katanya.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu secara sinis membayangkan tidak mustahil bagi kerajaan untuk mengenakan caj kesesakan di jalan-jalan lain yang kini tidak bertol. – MalaysiaGazette