Mohammad Javad Zarif

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif melepaskan jawatan dalam satu pengumuman yang mengejutkan.

Pengumuman itu dibuat Zarif melalui Instagram miliknya.

Beliau memohon maaf kepada rakyat Iran jika berlaku ‘kekurangan’ sepanjang beliau berada dalam kerajaan.

Zarif adalah individu penting dalam rundingan perjanjian nuklear pada tahun 2015 dengan kuasa utama antarabangsa.

Peletakan jawatan Zarif disahkan oleh agensi berita Iran, Irna, yang memetik sumber bagi Kementerian Luar sebagai berkata.

Zarif, 59, merupakan graduan Amerika Syarikat yang memiliki Doktor Falsafah dalam undang-undang antarabangsa dari Universiti Denver.

Beliau pernah menjadi Duta Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjadi Menteri Luar pada tahun 2013.

Zarif bagaimanapun tidak mendedahkan punca peletakan jawatannya.

 

52381156_415129189055055_8989369107799446795_n
Mohammad Javad Zarif mengumumkan peletakan jawatan menerusi akaun Instagram miliknya.

Setakat ini tidak jelas sama ada peletakan jawatan Zarif diterima oleh Presiden Hassan Rouhani.

Zarif didakwa tertekan sejak Amerika Syarikat menarik balik perjanjian nuklear Iran, yang telah menghadkan aktiviti nuklear Iran.

Isnin lalu, Presiden Syria, Bashar al-Assad telah bertemu dengan Ayatollah Ali Khamenei di Tehran tetapi Zarif tidak bersama dalam perbincangan tersebut.

Iran adalah penyokong utama kerajaan Syria semasa perang. – MalaysiaGazette