Mohamad Fuzi
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada sidang media selepas Hari Peringatan Ulang Tahun Penubuhan Pasukan FRU Ke-63 di Pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman semasa kempen Pilihan Raya Kecil(PRK) Semenyih minggu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini satu laporan ke atas Nazri diterima polis.

“Kita akan siasat mengikut Akta Hasutan kalau tak silap saya mengikut Seksyen 4(1) Kanun Keseksaan.

“Kita pun sedang melengkapkan kertas siasatan termasuk mengambil kenyataan-kenyataan mereka yang difikirkan ada kaitan dengan isu yang dilaporkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peringatan Ulang Tahun Ke-63 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas tindakan polis setelah Nazri memberi keterangan di Kajang berhubung isu tersebut.

“Kita perlu lengkapkan kertas siasatan secepat mungkin, jadi lengkap nanti kita akan hantar kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut,” tegasnya.

Sebelum ini Nazri Aziz selaku Ahli Parlimen Padang Rengas dilapor mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mahu menutup sekolah vernakular Cina dan Tamil selain didakwa mempersoalkan pelantikan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara.

Berikutan itu, MCA mendesak polis supaya melakukan siasatan terhadap Nazri mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbau perkauman walaupun Nazri menafikan mengeluarkan kenyataan seumpama itu kepada media. – MalaysiaGazette