Saksi ke-16 inkues Adib, Mohd. Ashraf Baruji.-pix BERNAMA

SHAH ALAM – Suasana prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim pada sesi petang tadi menjadi hiba dan terpaksa dihentikan selama beberapa minit apabila saksi ke-16 mula sebak dan sedih ketika memberi keterangan. 

Mohd. Ashraf Baruji sebagai pembantu pegawai pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) mendedahkan dia kerap berkomunikasi dengan Adib dalam tempoh rawatannya. 

Paling terkesan buatnya anggota bomba itu pernah meminta air buah daripadanya.

“Sebelum itu dia (Adib) tulis nama emak, ayah dan tunang tanda dia nak jumpa. Yang paling terkesan dia tulis nak minum air buah.

“Saya cakap cepat sihat Adib, saya akan jadi orang pertama belikan air buah dekat bawah untuk Adib,” katanya ketika ditanyakan apakah antara permintaan Muhammad Adib. 

Mohd. Ashraf yang menyifatkan hubungannya dengan Muhammad Adib selama 21 hari menjadikan mereka agak rapat.

Beliau juga beberapa kali tidak dapat menahan emosinya sehingga mengalirkan air mata. 

Antara yang mengusik hati Mohd. Ashraf lagi apabila Muhammad Adib sempat bertanyakan kepadanya berapa lama dia akan berada di wad ICU IJN.

Selain bertanya tentang ibu dan ayah,beliau juga tidak putus-putus memberikan semangat kepadanya untuk meneruskan rawatan dan kembali pulih sepenuhnya. 

“Saya  memberikan Adib semangat ketika Adib di ICU untuk dia teruskan dan menghabiskan fisioterapinya adakalanya saya dan Adib bertukar cerita.

“Saya ada bertanyakan Adib berkenaan keluarganya, tunangnya, kerjanya dan skop kerja di unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Ketika komunikasi kami berlaku dia boleh memberikan jawapan yang rasional boleh memberikan jawapan kepada soalan saya.

“Dia pernah tanya “Lama lagi ke kat sini? (Selain itu) Saya pernah cakap cuba dongak kepala ke tingkap (semasa fisioterapi berlangsung) saya bagi tahu; “Nampak tak hotel tu? Disitulah mak ayah Adib tinggal” 

“Adib mendongak kepalanya ke arah yang ditunjuk hotel yang bersebelahan Hospital Pusrawi, maknaya dia faham,” katanya dengan suara sebak dan gagal mengawal emosinya lagi. 

Beliau juga berkongsi kepada mahkamah yang b eliau juga pernah menemani Muhammad Adib menonton perlawanan bola sepak di televisyen di wad ICU.

Beliau melihat sendiri reaksi anggota bomba itu yang bersemangat apabila pasukan Malaysia dapat menjaringkan gol.

“Kami sempat menonton perlawanan bola sepak tidak pasti pasukan apa tapi Adib semangat menonton bola. Adib angkat tangan kiri masa ada pasukan yang dapat jaringkan bola.

“Lepas tu saya cakap “lepas ni boleh buat fisio lagi”,” katanya bergurau dengan Muhammad Adib.

Komunikasi antara mereka berdua ujarnya lagi berhenti semenjak kondisi Muhammad Adib mula kritikal.

Ashraf merupakan jururawat yang berada dalam pasukan merawat Muhammad Adib dari hari pertama dia dimasukkan di IJN sehingga meninggal pada 17 Disember yang lalu. 

Lima hari selepas Adib meninggal dunia, Mohd. Ashraf meluangkan masa ke kampung halamannya di Kedah bagi tujuan menziarahi kubur dan keluarga anggota bomba itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast