Imri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd. (TM) menjangkakan prestasi kewangan pada tahun ini tetap mencabar sama seperti yang dialami pada 2018 didorong oleh penyusutan perolehan, perubahan dalam industri dan peningkatan kehendak pelanggan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, syarikat telekomunikasi itu akan memacu perhidmatan bersepadu (convergent) dan memperkasakan digital berlandaskan Program Peningkatan Prestasi 2019-2021.

Selain itu, TM juga katanya, sedang meneroka teknologi baharu untuk meningkatkan kepuasan pelanggan Streamyx pada tahun ini.

“Kami sedang meneroka peluang untuk menawarkan teknologi baharu yang bakal memberikan lebih banyak kepuasan kepada pengguna-pengguna Streamyx.

“Apabila ada pelan yang lebih muktamad, kami akan umumkan kepada pelanggan,” katanya ketika taklimat media berhubung prestasi kewangan TM bagi tahun kewangan 2018 di sini hari ini.

TM merekodkan kejatuhan untung bersih sebanyak 83.5 peratus kepada RM153.15 juta pada tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember lalu berbanding RM929.75 juta pada tempoh sama 2017.

Perolehan juga menyusut sebanyak 2.2 peratus kepada RM11.82 bilion berbanding RM12.09 bilion manakala perolehan sesaham jatuh 4.08 sen berbanding 24.74 sen sebelumnya.

Prestasi kewangan yang tidak memberangsangkan itu didorong oleh kejatuhan pendapatan daripada perkhidmatan suara, data dan bukan telekomunikasi.

Perkhidmatan data terjejas akibat peruntukan anggaran impak kepada mandat penetapan harga oleh kerajaan.

TM menyasarkan perbelanjaan modal (CAPEX) bagi tahun ini adalah sama seperti tahun kewangan 2018 iaitu sekitar 18-20 peratus daripada hasil.

Pada tahun kewangan 2018, TM membelanjakan CAPEX sebanyak RM2.14 bilion.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perancangan syarikat tersebut untuk melupuskan dua hartanah miliknya di Bangsar, Pengerusi TM, Rosli Man berkata, ia adalah untuk membuka nilai aset di samping mencari peluang untuk mencairkan aset kepada tunai.

Jawapan yang sama diberikan ketika ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan TM bakal melupuskan pegangan di dalam syarikat penyedia perkhidmatan IT, VADS.

“Kadang kala, kita hebat di dalam penyediaan infrastruktur dan sebagainya tetapi dalam bidang-bidang lain, kita kurang mahir.

“Jadi, mungkin kita perlu mencari rakan kongsi atau melupuskan terus aset tersebut.

“Apa pun, ianya bergantung kepada nilai yang ditawarkan oleh pembida, sekiranya di bawah nilai aset, lebih baik kita simpan sendiri sahaja,” katanya.

Proses tender bagi bidaan penjualan Anex 1 dan Anex 2 milik TM masih lagi berlangsung dan syarikat tersebut enggan mendedahkan nilai tempahan bagi kedua-dua bangunan yang terletak berhampiran dengan ibu pejabat itu.- MalaysiaGazette