Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan berhubung penjimatan kerajaan daripada pengambilalihan empat lebuh raya milik Gamuda Berhad telah menimbulkan persoalan.

Presiden MCA berkata, bagaimana Lim Guan Eng sudah mengetahui keuntungan yang bakal diperoleh kerajaan sedangkan rundingan baharu bermula dan kos pengambilalihan belum dikira lagi.

Malah, Gamuda dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan ahli lembaga akan memastikan pengambilalihan itu selari dengan amalan dan norma-norma penilaian pasaran.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menambah, perkiraan yang dibuat oleh Guan Eng tentang penjimatan pengguna sebanyak RM180 juta dengan peralihan daripada kutipan tol kepada caj kesesakan juga mengelirukan.

Soalnya, adakah caj kesesakan itu lebih rendah atau tinggi berbanding kadar tol semasa.

“Lim Guan Eng mengatakan pengguna lebuh raya akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun dengan peralihan daripada kutipan tol sedia ada kepada caj kesesakan.

Perkiraan ini amat mengelirukan. Caj kesesakan ini akan menjadi lebih rendah atau tinggi berbanding harga tol semasa yang dikenakan kepada para pengguna?,” soalnya dalam hantaran terbaharu di Facebook milik Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Artikel berkaitan:Gamuda pastikan pengambilalihan selari penilaian pasaran

Pengambilalihan konsesi Gamuda bergantung kepada kewangan negara – Azmin

Pengambilalihan 4 lebuh raya ‘sedut’ hasil Gamuda

Satu lagi persoalan yang menjadi kemusykilan Ka Siong adalah kenyataan Guan Eng yang menyatakan lebihan kutipan caj kesesakan akan disalurkan kepada pembangunan dan penyenggaraan sistem pengangkutan awam.

Jelasnya, jika benar Guan Eng mahu membangunkan sistem pengangkutan awam, sudah tentu beliau membantah rancangan projek kereta nasional ketiga.

“Malangnya, beliau kekal membisu,” ujar Ka Siong. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/26/caj-kesesakan-beri-penjimatan-rm180j-kepada-pengguna-kata-guan-eng/