hot weather sun sky forecast La Nina El Nino MetMalaysia
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membuat pemantauan secara berkala di kawasan yang kerap berlaku kebakaran hutan dan tanah gambut di negeri ini, berikutan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.

Pengarah JBPM negeri Azmi Osman berkata antara lokasi yang sering berlaku kebakaran ialah sekitar Bestari Jaya (Kuala Selangor) serta Sepang dan Johan Setia (Klang) yang kerap berlaku kebakaran hutan setiap tahun ketika cuaca panas.

“…dan bagi mengekang kejadian itu berlaku, kita telah membuat pelan kontigensi iaitu dengan melakukan pemantauan secara berkala selain mempersiapkan anggota dan jentera kita untuk turun ke lokasi sekiranya berlaku kebakaran,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut membuat pemantauan di kawasan tapak pelupusan sampah dan kawasan pertanian di sekitar negeri ini.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Sekiranya kebakaran berlaku, kita akan terus bertindak bagi mengelak kebakaran itu merebak dan menjadi lebih buruk…dan kolaborasi dengan beberapa agensi berkaitan itu perlu terutamanya dari segi bantuan sumber air dan tangki (air) sepanjang proses pemadaman kebakaran,” katanya.

Azmi pada masa sama turut meminta kerjasama masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya di kawasan tapak pelupusan sampah dan tanah pertanian selain membantu bomba mengesan mereka yang melakukan aktiviti tersebut.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast