Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berucap pada Program Sembang Santai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di perkarangan Surau At-Taqwa Kampung Sentosa, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 26 FEBRUARI 2019

SEMENYIH -Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR kini huru hara tetapi UMNO dan Pas sudah tenang dan stabil.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Rahman Dahlan berkata, UMNO selepas PRU-14 memang huru hara dengan beberapa pemimpinnya ‘melompat’ ke PPBM dan Warisan.

“Dulu, parti UMNO huru-hara selepas kalah PRU-14 sehingga pemimpin semua lompat ke PPBM dan Warisan kononnya mahu membantu rakyat bukan kerana wang.

“Kini, UMNO sudah stabil begitu juga bersama Pas demi ummah tapi yang meroyan dan huru hara ialah PKR dan PPBM,” katanya berucap pada Program Sembang Santai bersama calon BN, Zakaria Hanafi di Kampung Sentosa malam tadi.

Bekas menteri itu menjelaskan, rakyat kini sedang menderita dengan pelbagai masalah dan tekanan kewangan, PH pula mahu merebut jawatan dan bergaduh siapa mahu menjadi perdana menteri.

Katanya, kemenangan BN di Semenyih penting bukan sahaja sebagai referandum tetapi juga amaran tegas rakyat terhadap PH.

Katanya,  pada tahun ini juga, PKR akan menjadi punah akibat perbuatannya ketika ini.

“Kita akan rampas balik dalam PRU-15 sebab dia PPBM dan Warisan rampas parlimen dan ADUN kami di Sabah. Kamu masuk Bersatu (bekas UMNO) bukan nak bantu rakyat tapi kamu dijanjikan sesuatu.

“Kalau kamu berwibawa kamu patut tunggu dan hadapi segala rintangan dan pertahankan kebajikan rakyat undi kamu.

“Yang pasti BN, Pas akan memastikan ajar durjana-durjana itu dan ambil balik kerajaan semula,” katanya.- MalaysiaGazette