KUALA LUMPUR – Majoriti golongan profesional Malaysia tidak berjaya mencapai konsep keseimbangan kerja-kehidupan.

Ini kerana persekitaran kerja tidak menyokong dan kurangnya dasar kerja fleksibel bagi menggalakkan kehidupan yang lebih holistik.

Ia merupakan hasil dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh Monster.com.

Menurutnya, lebih satu pertiga daripada pekerja tempatan mengaku mereka tidak puas hati dengan jumlah masa yang dapat mereka luangkan dengan rakan-rakan serta keluarga di luar pejabat.

Manakala 45 peratus daripada profesional tempatan menyatakan majikan mereka sekarang tidak mempunyai dasar sedia ada mengenai keseimbangan kerja-kehidupan.

Sebanyak 40 peratus menyatakan pengurus mereka “agak menyokong” keseimbangan kerja-kehidupan secara umumnya, mereka tidak konsisten dalam membantu pekerja mencari keseimbangan praktikal yang berfungsi untuk individu dan perniagaan.

Manakala 30 peratus lagi menyatakan majikan mereka menganggap keseimbangan kerja-hidup sebagai satu perkara yang “sementara”.

Kajian Monster.com itu meninjau lebih daripada 1,000 responden di seluruh Singapura, Malaysia dan Filipina untuk sebahagian daripada kempen #WorkLifeBalance.

Ia bertujuan untuk meneroka sentimen golongan profesional tentang keseimbangan kerja-kehidupan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan mengenai aspek keseimbangan kerja-kehidupan yang paling dihargai oleh para pekerja mereka.

Golongan profesional Malaysia percaya bahawa sokongan organisasi terhadap keseimbangan kerja-kehidupan yang lebih baik adalah kunci untuk meningkatkan produktiviti (81%).

Halangan dalam bentuk sikap negatif pihak atasan (41%) dan rakan sekerja yang tidak bekerjasama atau terlalu kompetitif (39%) seringkali menghalang responden daripada mencapai versi keseimbangan kerja-kehidupan yang ideal bagi mereka.

Setiap hari, stres berkaitan dengan kerja memberi kesan yang buruk ke atas kehidupan profesional yang bekerja; 42% bimbang tentang kerja walaupun pada waktu mereka tidak bekerja, sementara 38% bekerja berjam-jam pada hujung minggu dan 29% selalu menyemak e-mel kerja selepas waktu kerja.

Golongan profesional menyatakan mereka mengalami sakit belakang (16%), keletihan (15%), kemurungan (14%) dan sakit kepala yang kerap (12%) adalah penyakit-penyakit biasa berkaitan dengan pekerjaan yang mengganggu mereka di tempat kerja.

Kebanyakan orang (85%) menganggap diri mereka sebagai “segmentors” di tempat kerja, iaitu mereka suka mempunyai sempadan yang jelas di antara kehidupan peribadi dan pekerjaan.

Secara keseluruhannya, 66% menyatakan bahawa “keseimbangan kerja-kehidupan” bermakna tidak perlu bekerja pada hujung minggu, manakala 65% pula menyatakan bahawa ia adalah keupayaan untuk memilih waktu kerja yang fleksibel.

Lebih daripada separuh (54%) menyatakan “keseimbangan kerja-kehidupan” hanya bermakna apabila mereka dapat menamatkan kerja tepat pada masanya setiap hari.

Malaysia masih jauh ketinggalan dalam memenuhi keperluan populasi yang bekerja.

Walaupun beberapa langkah mungkin sudah wujud, ini bukan secara keseluruhan untuk majoriti perniagaan di seluruh negara.

Lantaran itu, satu anjakan sikap dan budaya diperlukan bagi menerima idea holistik, keseimbangan serta pendidikan tentang bagaimana cara untuk melaksanakan dasar yang tidak menjejaskan perniagaan secara negatif – iaitu perkara yang bertentangan. – MalaysiaGazette