Kelihatan pelancong tertarik dengan keunikan hiasan River Of Life ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ketibaan pelancong ke Malaysia pada tahun lalu berjumlah 25.83 juta dan ia tersasar daripada unjuran sebanyak 26.4 juta.

Ia merupakan penurunan sebanyak 0.4 peratus daripada 25.95 juta pelancong yang tiba di negara ini pada tahun 2017.

Malah, perbelanjaan pelancong pada tahun 2018 juga jatuh RM84.1 bilion berbanding unjuran RM84.9 bilion.

Tetapi ia meningkat dari tahun ke tahun berbanding RM82.2 bilion.

Tourism Malaysia berkata, bagi perbelanjaan per kapita, Malaysia menunjukkan kenaikan 2.9 peratus tahun ke tahun kepada RM3,257 daripada RM3,166.

Manakala purata tempoh menginap meningkat kepada 6.5 malam daripada 5.7 malam tahun sebelumnya.

Pelancong tertinggi yang tiba di Malaysia adalah Singapura dengan jumlah 10.62 juta, Indonesia 3.28 juta dan China 2.94 juta.

Negara lain ialah Thailand (1.91 juta), Brunei (1.38 juta), South Korea (616,783), India (600,311), Filipina (396,062), Jepun (394,540) dan Taiwan (383,922).

Menurutnya, pelancong dari ASEAN menyaksikan kemasukan terbesar dengan 70.1 peratus. – MalaysiaGazette