Ole Gunnar Solksjaer.

LONDON – Ole Gunnar Solksjaer mencipta nama dalam sejarah Manchester United apabila mencapai prestasi luar biasa menerusi kemenangan ke atas Crystal Palace, awal pagi tadi.

Mirror UK melaporkan, pengurus sementara dari Norway itu terus tersenyum lebar apabila meraih kemenangan kelapan berturut-turut.

Dua gol dari Romelu Lukaku dan Ashley Young memastikan Red Devils membawa tiga mata lagi di tempat lawan.

Kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace bermakna Solskjaer dan United memecahkan rekod kemenangan secara berturut-turut yang sebelum ini dipegang oleh Sir Alex Ferguson semasa beliau mengendalikan kelab itu.

Ferguson berjaya memenangi tujuh perlawanan tanpa menjatuhkan satu mata dalam dua permainan, sekali pada 1993 dan sekali lagi pada 2002.

Solskjaer merupakan sebahagian daripada pasukan itu ketika mencapai kejayaan pada tahun 2002.

Namun dia kini menjadi lebih hebat dengan permulaan yang mengagumkan selepas mengambil alih kerusi panas United daripada Jose Mourinho pada Disember lalu. – MalaysiaGazette