SEMENYIH – Isu umur calon Pakatan Harapan (PH) yang dianggap muda dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Kecil (DUN) Semenyih bukanlah satu masalah besar untuk menjadi wakil rakyat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana parti itu pernah meletakkan calon lebih muda pada PRU-14 iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berusia 25 tahun ketika itu.
Namun beliau berkata, Ketua Armada Bersatu itu kini menjadi Ahli Parlimen Muar dan mampu menggalas tanggungjawab hingga rakyat di sana jatuh hati dengannya.
“Calon PH iaitu Muhammad Aiman Zainali berusia 30 tahun dan lebih tua daripada Syed. Di peringkat awal ada reaksi kata calon kita muda sangat.
“Tapi lepas menjadi wakil rakyat nanti, saya percaya beliau akan mampu menyelesaikan manisfesto Semenyih yang dijanjikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan di sini malam ini.
Turut hadir dua Timbalan Presiden PH, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Antara lain Naib Timbalan Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Azmin Ali, Ketua Pemuda PH, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Mengulas lanjut Muhyiddin menambah, kerajaan sentiasa memikirkan tindakan yang wajar dalam menentukan hala tuju negara.
Jelas beliau, kerajaan juga komited untuk menunaikan janji dalam manisfesto PRU-14.
“Jangan lupa kerajaan PH baru berapa bulan sahaja memerintah dan mengambil alih daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya bukan hendak ulang sejarah, lapan ke sembilan bulan masih singkat. Bila ditubuh kerajaan dari kerajaan BN dan kerajaan perlu ambil masa kerana dikelilingi isu hutang,” katanya.
Muhyiddin juga berjanji kerajaan akan terus memburu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat dalam urusan perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tegas Muhyiddin, permohonan waran tangkap telah dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk mengeluarkan notis merah untuk menjejaki individu berkenaan.
“Kita akan tangkap Jho Low dan masuk dia dalam penjara Sungai Buloh.
“Datuk Seri Najib Razak atau Bossku pun sudah didakwa hingga saya tidak ingat sudah berapa dakwaan.
“Saya juga pernah lihat akaun peribadi Bossku yang memiliki jumlah RM42 juta hasil daripada wang RM2.6 yang ditunjukkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali,” katanya. – MalaysiaGazette