KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka rendah sejajar dengan prestasi semalaman Wall Street yang lemah.
Pada 9.30 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan paras 1,700 mata pagi ini kepada 1,698.57, susut 9.16 mata daripada 1,707.73 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks dibuka rendah 7.28 mata kepada 1,700.45.
Public Investment Bank berkata S&P 500 mencatatkan penurunan paling lamanya bagi 2019 berikutan data ekonomi yang lemah awal hari ini menunjukkan kepada kesan daripada perang perdagangan AS-China ke atas pertumbuhan ekonomi dan pasaran global.
“Pelabur terus menantikan tanda-tanda kejayaan untuk menamatkan kebuntuan perdagangan itu,” katanya dalam nota hari ini.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 340 berbanding 149, manakala 226 kaunter tidak berubah, 1,165 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 325.92 juta saham bernilai RM186.29 juta.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata, masing-masing meningkat dua sen kepada RM9.55 dan RM4.18, manakala Public Bank menambah empat sen kepada RM25.04, Petronas Chemicals menokok tiga sen kepada RM9.25, IHH Healthcare naik lima sen kepada RM5.78 dan Petronas Gas meningkat 14 sen kepada RM18.
Daripada saham aktif, Sapura Energy naik setengah sen kepada 31.5 sen, V.S Industry meningkat 2.5 sen kepada RM1.02, Sino Hua-An menambah 1.5 sen kepada 19.5 sen, Vivocom tidak berubah pada dua sen, Ahmad Zaki Resources merosot lima sen kepada 39.5 sen dan Seacera berkurangan 1.5 sen kepada 31 sen.
Indeks FBM Emas susut 54.92 mata kepada 11,771.78, Indeks FBM Emas Shariah menambah 77.38 mata kepada 11,654.73 dan FBMT 100 merosot 54.18 mata kepada 11,643.56.
Indeks FBM Ace turun 39.61 mata kepada 4,567.49 dan FBM 70 berkurangan 27.60 mata kepada 13,916.81.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.16 mata kepada 17,782.45, Indeks Perladangan berkurangan 38.88 mata kepada 7,199.6 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.11 mata kepada 167.95.
— BERNAMA