Wan Nurshima Wan Jusoh

JAKARTA – Konsul Malaysia di Pekanbaru, Sumatera cedera dalam satu kejadian ragut selepas terjatuh dan diseret peragut terbabit.

Wan Nurshima Wan Jusoh, 42, cedera di bahagian pinggang dan tangan selepas terjatuh dan diseret suspek dalam kejadian 5 petang semalam.

Wan Nurshima ketika dihubungi berkata beliau kini dirawat di Rumah Sakit Awal Bros Jalan Sudirman di Pekanbaru dan masih trauma dengan kejadian itu.

“Alhamdulillah, tak parah cederanya, luka-luka di tangan dan anggota badan akibat terjatuh dan diseret di atas jalan tar, dalam cubaan suspek mendapatkan beg tangan saya,” katanya yang telah bertugas sebagai Konsul Malaysia di Pekanbaru sejak Oktober tahun lepas.

Sementara itu pemandu kepada mangsa, Feri Amri, 48, dipetik media tempatan berkata, ketika kejadian Wan Nurshima sedang memasukkan barang dan makanan yang dibelinya dari kawasan berdekatan itu ke dalam kereta menerusi pintu belakang.

Dalam kejadian di Jalan Ahmad Yani itu, secara tiba-tiba dua lelaki yang menaiki motosikal mendekati mangsa dan seorang daripadanya bertindak menarik bag tangannya.

“Ketika itu saya di dalam kereta, berlaku tarik menarik sehingga Wan Nurshima terjatuh dan diseret, selepas gagal mendapatkan beg tangan itu, kedua-dua suspek melarikan diri,” katanya.

Memetik laporan media tempatan, pihak polis telah mendapatkan keterangan kejadian itu daripada Wan Nurshima dan Feri Amri dan sedang memburu suspek terbabit.

— BERNAMA