KUALA LUMPUR – Konflik terbaru ketegangan antara India dan Pakistan disifatkan masih lagi selamat dari segi hubungan dagang kedua-dua negara itu dengan Malaysia setakat ini.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, kerajaan masih lagi memantau keadaan itu dari semasa ke semasa bagi memastikan ianya tidak memberi sebarang implikasi besar kepada negara.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, masih terlalu awal bagi pihaknya mengkaji implikasi serta kesan seandainya Malaysia terjejas berikutan ketegangan antara dua negara itu.
Jelas Saifuddin, beliau setakat ini tidak dapat memberikan apa-apa kenyataan sebaliknya keseluruhan kerajaan termasuk beberapa kementerian berkepentingan sedang memantau situasi tersebut.
“Ketika ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng, Kementerian Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan juga Kementerian Ekonomi diterajui Datuk Seri Azmin Ali sedang memantau situasi ketika ini.
“Hubungan dagang kita tidak terjejas atau memberikan apa-apa implikasi ketika ini. Kita sememangnya sudah mempunyai hubungan rapat dan lama dengan kedua-dua negara ini malah Pakisatan merupakan rakan G-8 kita.
“Kita mempunyai hubungan yang dekat dengan kedua-dua mereka, masih awal untuk kita jangkakan apa-apa setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Lukisan Bards di Oasis Village sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada hubungan dagang antara kedua-dua berkonflik itu dengan Malaysia terkesan berikutan ketegangan serius sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Ketegangan di antara New Delhi dan Islamabad dengan kedua-duanya adalah kuasa nuklear, semakin memuncak sejak serangan pengganas di Pulwana, India pada 14 Februari lalu yang membunuh lebih 40 orang serta mencederakan ramai lagi.
Menurut laporan, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed, mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.
Malah Malaysia juga meluahkan kebimbangan terhadap ketegangan terbaru di antara India dan Pakistan.
Dalam kenyataannya di sini, Wisma Putra berkata, sebagai negara yang mempunyai hubungan rapat dan lama dengan kedua-dua negara, Malaysia meminta kedua-duanya sedaya-upaya ‘mengawal diri’ serta mengadakan semula dialog dan rundingan.
“Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia mahukan satu keadaan yang aman dan stabil di peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan tidak perlu khususnya ke kawasan yang terkesan secara langsung dengan konflik berkenaan. –MalaysiaGazette