Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi bersama para penyokong Barisan Nasional dan PAS semasa meraikan kemenangan selepas beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur ke atas kemenangan Zakaria Hanafi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Beliau berkata, kemenangan itu bukti jalinan kukuh antara pengundi, jentera Barisan Nasional (BN), Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah. Syukur atas kemenangan BN di Semenyih. Suatu bukti bahawa jalinan kukuh antara para pengundi, jentera BN & PAS serta NGO dalam penyatuan ummah telah menghasilkan kejayaan,” katanya di sini.

PRK Semenyih merupakan kemenangan kedua BN memenangi kerusi PRK hasil kerjasama dengan Pas selepas PRK Cameron Highlands pada Januari lalu.

Zakaria secara rasminya memenangi PRK bagi kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi.

Beliau meraih 19,780 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17, 866 undi. – MalaysiaGazette