Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan barisan Kepimpinan Barisan Nasional menjulang calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (tengah) selepas beliau diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih baharu di Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Dewan Seri Cempaka MPKJ, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 MAC 2019.

KAJANG – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri DUN Semenyih yang diumum malam ini merupakan manifestasi kemarahan rakyat yang ditunjukkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pengundi-pengundi di Semenyih telah membuat keputusan bijak apabila memberikan undi dan kemenangan kepada BN.

Malah, katanya sokongan padu yang diberikan oleh Pas telah membantu BN untuk menjadi satu pasukan pembangkang yang kuat.

“Alhamdulillah, satu keputusan yang bijak kepada pengundi-pengundi di Semenyih yang telah memberikan undi kepada Barisan Nasional.

“Didokong sekali dengan Pas. Undi itu undi yang besar dan bagi saya ia adalah satu manifestasi perasaan rakyat sendiri terhadap kerajaan PH.

“Ini merupakan suatu keluhan rakyat dan saya kira ia petunjuk kepada landskap politik di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, langkah PH yang menggunakan serangan secara taktikal apabila mengaitkan namanya sebagai salah seorang daripada ahli Parlimen pembangkang yang akan melompat parti disifatkan sebagai satu kaedah perang saraf.

Katanya, beliau tetap teguh berjuang bersama UMNO dan tidak akan membenarkan pihak mana-mana pihak mengganggu gugat kestabilan parti itu yang kini membina ukhwah dengan Pas.

“Bagi saya snediri saya dah maklumkan. Kita sebagai pemimpin UMNO akan terus berjuang dan Pas pun dah beri sokongan kepada BN,” ujarnya.

Calon BN, Zakaria Hanafi secara rasminya memenangi PRK bagi kerusi DUN Semenyih dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, memperoleh 19,780 undi menewaskan tiga calon lain termasuk Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17, 866 undi.

Sementara itu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul memperoleh 847 undi manakala calon bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang yang menggunakan simbol telefon mendapat 725 undi. – MalaysiaGazette