Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir

SEMENYIH – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih hari ini membuktikan rakyat semakin menerima kerjasama politik dan agenda perpaduan ummah yang dibawa UMNO dan Pas.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir berkata, rakyat tidak menganggap agenda Melayu dan Islam sebagai satu isu perkauman dan fanatik kepada satu agama semata-mata.

“Saya rasa kemenangan di Semenyih ini adalah satu indikator daripada rakyat jelata khususnya di Selangor betapa perlunya mereka melihat kerjasama yang baik begini rupa antara UMNO dan Pas.

“Saya rasa bermula dari Cameron Highlands termasuk di Semenyih ini adalah referendum dan signal rakyat yang memerlukan satu kerjasama politik boleh meyakinkan mereka.

“Semenyih ini adalah satu petanda bahawa rakyat sudah mahu meneroka ke arah perubahan politik yang lebih besar lepas itu,” katanya ketika ditemui di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini, malam ini.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN, Zakaria Hanafi memenangi PRK Semenyih dengan majoriti 1,914 undi.

Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya SPR, Datuk Mohd Sayuthi Bakar pada jam 9.19 malam di Dewan Seri Cempaka MPKj di Saujana Impian di sini.

Zakaria, memperoleh 19,780 undi menewaskan tiga calon lain termasuk PH, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17, 866 undi.

Sementara itu calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul memperoleh 847 undi manakala calon bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang yang menggunakan simbol telefon mendapat 725 undi.

Roslan juga berkata, agenda penyatuan ummah ternyata memberi kesan besar dalam pilihan raya kali ini susulan rakyat Semenyih merasakan kepentingan agama mereka terabai.

“Dalam situasi politik pada hari ini mereka melihat kepentingan Islam dan Melayu seolah-olah terpinggir daripada arus perdana.

“Oleh itu isu Melayu Islam ini akan terus dibawa memandangkan kedua-dua parti adalah parti Melayu Islam terbesar di negara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Referendum Penyatuan Ummah?

    Menyatukan Perompak & Pembohong tegar? Jika ini Referendum Penyatuan Ummah, seumpama, menangkap se ekor ular

    . Kepala NYA, PEMBOHONGAN & EKOR NYA PEROMPAKAN.

    BILA KEDUA2 NYA DI ATASI, YG TINGGAL ULAR DLM KEBINGGUNGAN.

    SEMENTARA MENUNGGU MASA NYA, TERUSKAN PENYATUAN TERSEBUT. BERBAHAGIA DGN MASA YG ADA.

Comments are closed.