KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak melakukan sebarang kesalahan dan suruhanjaya itu merupakan pengawal yang baik kepada masyarakat dan pekerja  industri penerbangan.

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, kesatuan itu bersetuju dengan beberapa pihak bahawa Mavcom perlu dikekalkan bagi membantu industri penerbangan.

Katanya, suruhanjaya itu sepatutnya dibenarkan melakukan apa yang mereka lakukan terbaik, iaitu membantu mengekalkan perkhidmatan syarikat penerbangan yang baik kepada orang ramai.

“NUFAM percaya Mavcom adalah penting kepada industri sebagai pengawal selia penerbangan yang boleh membantu mengawasi syarikat penerbangan yang mempunyai tahap polisi perniagaan dan peraturan yang rendah.

“Kesatuan percaya Mavcom telah melakukan yang terbaik untuk memastikan polisi-polisi ini diawasi

“Oleh itu mengapa perlu membubarkan Mavcom kecuali terdapat pihak-pihak yang mengalami pengalaman buruk dengan Mavcom,” katanya dalam kenyataan,

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan terdapat pihak-pihak tertentu yang mahukan Mavcom dibubarkan sebagai pengawal selia industri penerbangan negara.

Menurut NUFAM, Mavcom perlu memastikan syarikat penerbangan mengikuti undang-undang dan pihaknya telah mengetengahkan pelbagai isu mengenai masalah syarikat penerbangan yang mengabaikan peraturan asas yang menyaksikan tindakan diambil secara profesional.

Jelas NUFAM, pihaknya percaya terhadap memainkan peranan yang ‘adil’, tidak memihak pada mana-mana syarikat penerbangan selain memastikan syarikat penerbangan mengikuti peraturan.

“Sesetengah syarikat penerbangan mungkin mempunyai kepentingan dan mereka tidak suka Mavcom memaksa mereka melakukannya,” katanya.

NUFAM berkata, kesatuan itu juga percaya tidak sepatutnya hanya ada satu pihak berkuasa melakukan semua perkara manakala terdapat terlalu banyak isu yang terlepas pandang yang tidak diambil perhatian. – MalaysiaGazette