Tan Sri Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Sebesar mana sekalipun kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, ahli parti itu diingatkan agar jangan mudah lupa atau terlalai dan kembali kepada ‘penyakit’ lama.

Malah, Setia Usaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mahu ahli parti itu menganggap mereka baharu berada di pangkal jalan setelah sekian lama tersesat di hujung jalan.

Menurutnya, perjalanan semula memerlukan masa yang panjang dan berliku.

“Jauh sekali dari kembali kepada ‘penyakit’ lama…ego, sombong, jauh dari rakyat serta segala amalan buruk seperti politik wang, politik warlords, rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Paling utama, kata Annuar, UMNO perlu menjaga amanah rakyat dengan menjadikan parti itu sebagai parti yang memperjuangkan nasib rakyat dengan kembali kepada asas perjuangannya, iaitu berjuang kerana Allah demi kemuliaan agama, martabat bangsa dan kemakmuran negara.

Selain itu, tambah beliau, antara agenda terpenting sekarang ialah perbaiki perpecahan ummah yang dibawa Pakatan Harapan terutama perpecahan umat Islam dan kaum peribumi dan digantikan dengan perpaduan dan penyatuan.

“Seterusnya perbaiki polarisasi kaum yang dibawa DAP, di mana negara ini harus dibina atas asas kepelbagaian kaum melalui politik sejahtera lagi murni.

“Asas bina negara seperti yang terpasak dalam Perlembagaan perlu di semarakkan. Suasana saling menghormati hak asas semua kaum mesti terhormati agar tiada siapa rasa terancam,apa lagi kalangan majoriti,” ujar beliau

Sebagai pembangkang pula, kata Annuar, UMNO harus bertanggungjawab, jujur, sabar, gigih dan yakin dengan perjuangannya serta jangan mudah keluar saf untuk mengejar kepentingan diri sendiri. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. kalau umno pas bergabung lawan pH. ini adalah suatu keadaan yang baik . satu parti perkauman lawan parti campuran. tapi mereka jangan lah tipu rakyat tak mengaku perkauman . tumpu lah melayu islam sahaja. lawan selain dari itu . biar pH dengan campuran nya. umno pas dengan kaumnya . kita boleh tengok pilihan rakyat melaksanakan demokrasi dengan sebaiknya .

  2. Sekadar berkongsi pandangan.. Aku setuju dgn apa yang TS Annuar luahkan tu. Aku dulu pun beranak dlm UMNO, dari budak, remaja hinggalah dewasa. Maklum la lahir tahun 70..Cuma bila peringkat umur mencecah ke 35 tu aku tak dapat meneruskan perjuangan dlm UMNO gara2 meluat melihat sikap sebilangan pemimpin UMNO baik dari Pemudanya hinggalah ke Induk sendiri. Angkuh, sombong, bongkak dan lebih menjurus kepada pencapaian peribadi.. Cantas mencantas menjadi amalan. Yang punya ‘wang’ bermaharajalela dan diangkat menjadi ‘wira’ dan yang bermodalkan ‘perjuangan’ dipersia entah ke mana. Mereka yang punya kualiti ditanam dan yang tinggal hanya kaki bodek pencium tangan yang tak punya wadah perjuangan.. Masa berlalu, kaki bodek diangkat menjadi pengganti, memimpin bawahan yang tetap setia berdepan musuh tanpa jemu. Hasilnya, UMNO dihukum gara2 sikap pentingkan diri dan bukan lagi menjadi pelindung parti dan rakyat yang diwakili. Pemimpin2 yang lahir dari langau2 dan pembodek cium tangan, hampir semuanya lari disaat UMNO terguling kerana memberi alasan kononnya UMNO sudah tidak relevan lagi. Tapi kini ahli2 telah bangkit kembali bagi menebus maruah parti dan demi maruah pribumi yang hampir menangis di tanah sendiri. Kepada Tan Sri Anuar dan Pimpinan parti, gunakanlah peluang ini untuk membina semula UMNO dari akar umbi. Masih ramai ahli2 yang berkualiti yang sanggup berkorban diri berbanding pemimpin2 yang hanya tahu menyelamatkan diri. Berhati2lah kerana masih ada ‘parasit’ di dalam parti yang mungkin akan mengganggu gugat kestabilan dlm membina semula kekuatan.. Mereka mereka yang berperangai ‘kurang sopan’ seharusnya di kuarantin terlebih dahulu agar kebencian ramai dapat dihakis sama sekali. Aku sendiri masih kuat untuk brdiri walaupun pernah disisihkan dari parti dan akan tetap memberi bakti walaupun bergerak dari luar sini.

Comments are closed.